Wednesday, March 20, 2013

5 aspek Manhaj Nubuwwah

Shaikhuna Dr. Usamah as-Saiyid Mahmud al-Azhari -hafizohulLah- meletakkan 5 aspek Manhaj Nubuwwah (kaedah yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w) berkaitan Pembangunan Insan :-

1. Akal (minda) : Nabi Muhammad s.a.w mengajarkan manusia ; bagaimana untuk berfikir, bagaimana nak melihat alam semesta dan menjalani kehidupan, bagaimana nak memahami aturan ALLAH dengan pemahaman dan analisis yang betul, bagaimana untuk menghasilkan sesuatu gambaran yang betul tentang sesuatu kejadian, bagaimana untuk melihat setiap sesuatu secara hakikat serta ukuran yang betul agar dapat melakukan semuanya itu dengan cara yang betul.

2. Nafsu (jiwa) : Baginda mengajarkan manusia ; bagaimana untuk mensucikan diri, bagaimana menghapuskan segala kekotoran dari sifat mazmumah seperti dendam, benci, angkuh, penting diri sendiri sehingga akan terpancar di dalam dirinya cahaya petunjuk dan dapat membersihkan titik hitam di dalam diri dari segala sifat mazmumah yang menyebabkannya jauh dari kefahaman Al-Quran dan syariah Islam.

3. Ruh : Baginda mengajarkan manusia ; bagaimana membebaskan ruh dari ikatan nafsu, supaya manusia itu dapat mencergaskan ruh dan membebaskan hati untuk mencapai kejayaan tanpa malas dan kecewa, bahkan akan dipenuhi di dalam dadanya dengan mengenali ALLAH SWT, mengagungkan-Nya dan mencintai para Nabi dan Rasul-Nya serta berakhlak seperti yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

4. Hati (jantung) : Baginda mengajarkan manusia ; bahawa hati adalah tempat pandangan ALLAH SWT, ia adalah sumber keikhlasan semasa berniat untuk melakukan sesuatu perbuatan dan memboleh manusia istiqomah. Apabila ia dipenuhi dengan cahaya Ilahi, pasti ia akan terlorong seumur hidupnya ke jalan yang lurus.

5. Jasad (badan) : Baginda mengajar manusia ; bagaimana membinanya, bagaimana menggunakan tenaga dan usahanya untuk mencapai sesuatu tujuan yang betul

.Lima aspek tersebut, ia merupakan komponen kejadian manusia. Manusia tidak akan menjadi sempurna sehingga dia mengetahui cara bagaimana untuk membina akal, nafsu, hati, ruh dan jasadnya. Jika manusia mengabaikan salah satu dari lima aspek tersebut, dia akan diputarbelitkan, dikelirukan, tidak mengetahui jalan yang lurus serta tidak akan mencapai kejayaannya di Akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment